Oleh Daniel Lim
TUTONG, 10 MAC – Sebuah syarikat telah didenda $1,000 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kerana membuang sampah di premis awam yang terletak berhampiran kawasan lapang di Kampung Lubok Pulau, kelmarin.
Perbuatan itu dirakam oleh kamera CCTV berhampiran di mana anggota kakitangan syarikat terlihat membuang bahan binaan yang tidak diingini dari kenderaan mereka ke kawasan lapang. Denda tersebut dikeluarkan di bawah Bab 12 (1) Akta Kesalahan Pelbagai (Pindaan) 2021.
Syarikat tersebut diberikan tempoh tujuh hari untuk menyelesaikan denda tersebut, jika gagal berbuat demikian akan menyebabkan kes ini dihadapkan ke mahkamah dan berdepan denda antara $2,000 dan $10,000 untuk kesalahan pertama, dan antara $10,000 dan $30, 000 serta penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan berikutnya.
JASTRe terus mengingatkan orang ramai dan pemilik perniagaan agar sentiasa bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.


