Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat didenda $200 kerana longgok sampah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Sebuah syarikat di Jalan Kubah Makam Diraja, Batu Satu telah dikenakan denda kompaun setelah didapati melonggokkan sampah di kawasan letak kereta awam dan tempat penyimpan bahan mudah terbakar (tong gas) di kawasan premis dan bangunan di kawasan kawalan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, hari ini, syarikat berkenaan dikenakan denda sebanyak $200 di bawah kesalahan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) (a) iaitu melonggokkan sampah di tempat awam.

    Perbuatan syarikat berkenaan melonggokkan sampah di kawasan berkenaan bukan sahaja menyebabkan pemandangan yang kurang menyenangkan tetapi ia juga berada dengan kawasan penyimpanan bahan mudah terbakar yang setentunya boleh membahayakan orang ramai dan bangunan-bangunan berhampiran.

    Kenyataan turut mengingatkan para peniaga dan orang ramai bahawa adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12, membuang atau melonggokkan sampah atau meninggalkan apa jua benda di tempat-tempat awam dan sebarang tanah lapang tanpa kebenaran yang sah, dan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih $500.

    Gagal membayar boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya dikenakan $3,000 dan hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan.

    Pihak Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan di bawah kawalannya dan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan serta-merta terhadap pihak yang didapati melanggar akta tersebut.

    Sampah yang dilonggokkan di kawasan premis dan bangunan di kawasan kawalan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan. – Gambar oleh Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda