Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat didenda $2,000 buang sisa air kotoran

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 28 APRIL – Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait baru-baru ini telah menerima aduan daripada penduduk Kampung Lumut melalui Ketua Kampung Lumut II mengenai aktiviti pembuangan sisa air kotoran di tempat awam oleh sebuah syarikat yang dilantik bagi kerja-kerja pengangkutan sampah dikawasan rumah-rumah awam di daerah berkenaan.

    Menurut Jabatan Daerah Belait, syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun berjumlah $2,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1) (c) iaitu membuang cecair yang menyebabkan mengalir atau jatuh ke sebarang tempat awam.

    Syarikat terbabit diberikan tempoh seminggu untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika gagal menjelaskan pembayaran, boleh didakwa ke mahkamah.

    Di bawah akta berkenaan, kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua; atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.

    Kerja-kerja pembuangan sisa air kotoran yang dilakukan oleh kakitangan syarikat berkenaan di tempat awam. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH BELAIT
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda