Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Syarikat didenda $2,000 buang sisa air kotoran

    Oleh Syahmi Hassan –

    BELAIT, 18 APRIL – Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait kelmarin telah menerima aduan daripada penduduk Kampung STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, mengenai aktiviti pembuangan sisa air kotoran di tempat awam oleh salah sebuah syarikat yang telah dilantik oleh sebuah agensi tertentu di daerah berkenaan.

    Menurut Jabatan Daerah Belait, syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun berjumlah $2,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1) (c) iaitu membuang cecair yang menyebabkan mengalir atau jatuh ke sebarang tempat awam.

    Syarikat terbabit diberikan tempoh seminggu untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika gagal menjelaskan pembayaran, boleh didakwa ke mahkamah.

    Di bawah akta berkenaan, kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua; atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.

    Bagi badan-badan lain atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah bab yang sama boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi daripada $2,000 bagi kesalahan pertama, dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua, atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

    Sebarang aduan orang ramai boleh menghubungi talian 3334335 sambungan 1404 atau 1153.

    Kerja-kerja pembuangan sisa air kotoran yang dilakukan oleh kakitangan syarikat berkenaan di tempat awam. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH BELAIT
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...