Oleh Nurdiyanah R.
BELAIT, 13 OKT – Sebuah syarikat di Daerah Belait telah dikenakan kompaun $500 oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait atas kesalahan membuang sampah di tempat awam, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kesalahan itu didapati susulan pemantauan harian yang dijalankan di beberapa kawasan di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait.
Syarikat berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Bab 12 (1) (d) iaitu menggugurkan, menumpah atau menghamburkan sebarang habuk, pasir, tanah liat, tanah gambur, batu kelikir, rumput, jerami, tatal, habuk kayu, abu, kotoran kebun, kotoran bangsal, kotoran perniagaan, baja, sampah atau apa jua barang dan bahan lain di sebarang tempat awam, sama ada dari sesebuah kenderaan yang bergerak atau tidak atau dalam apa jua cara lain.
Syarikat itu telah diberikan tempoh satu minggu untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika gagal boleh didakwa di mahkamah, di mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000.
Manakala itu, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, syarikat itu boleh dikenakan denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Operasi pemantauan harian berkenaan bertujuan bagi memastikan kebersihan persekitaran premis bangunan perniagaan agar lebih terjaga dan mana-mana individu atau syarikat yang melakukan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang telah disediakan.
Pada masa yang sama, unit berkenaan juga sentiasa memberi peringatan kepada mana-mana individu atau badan-badan korporat agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini bagi sama-sama menjaga kebersihan kawasan dan alam sekitar dengan membuang bahan-bahan buangan di kawasan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam.
