Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat didenda, gagal bayar caruman pekerja

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan ke atas Syarikat Zentech Sdn Bhd atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 26 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, pengarah syarikat sebagai wakil daripada Syarikat Zentech Sdn Bhd telah mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut iaitu gagal membuat pembayaran caruman Skim TAP dan Skim SCP bagi pekerja-pekerjanya dalam masa yang telah ditetapkan.

    Mahkamah Majistret Kuala Belait telah menjatuhkan hukuman denda ke atas syarikat tersebut sebanyak $2,000 dan diarahkan untuk membayar denda dan kesemua caruman Skim TAP dan Skim SCP yang tertunggak termasuk dividen terakru sebanyak $1,392.33 tidak lewat dari 15hb Jun 2024.

    Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.

    Bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, TAP mengingatkan kepada para majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman pekerja sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran yang termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.

    Manakala bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, para pekerja adalah dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat melalui hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 7302929 ataupun melalui emel di alamat enforcement@tap.com.bn.

    Selain itu, para pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2722929 semasa waktu bekerja.

    Aduan juga boleh dibuat bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan dalam talian TAP (e-Amanah) ataupun melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda