KUALA LUMPUR, 19 JUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru syarikat supaya mempertimbangkan pemberian elaun yang munasabah kepada pelatih industri bagi menampung keperluan harian mereka seperti kos tambang dan makanan.
Beliau, bagaimanapun berkata kerajaan tidak akan menetapkan satu kaedah pembayaran yang jelas kepada pelatih industri memandangkan latihan itu bukan bersifat paksaan.
“Kita faham latihan amali bukan pekerjaan biasa, itu peluang pendedahan awal tetapi bagilah sikit elaun munasabah kerana perjalanannya, tambang dan makan.
“Saya sewaktu di pejabat ketua pembangkang di Parlimen, saya pun ambil pelatih industri dalam keadaan elaun ketua pembangkang masa dalam kerajaan dulu hanya RM1,800 tambahan. Saya terpaksa cari dana untuk bayar sekurang-kurangnya RM1,000 pada masa itu untuk pelatih industri,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengenai CMGP, Anwar berkata ia merupakan platform yang menyediakan latihan kepada 9,000 bakal graduan bagi mendapatkan pendedahan pekerjaan dalam industri pasaran modal, dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun.
Beliau berkata program CMGP juga selari dengan aspirasi MADANI yang menyediakan peluang untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri pasaran modal kepada graduan muda. – Bernama
