Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat dikompaun $2,000 akibat buang bekas tayar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 (Penggal 30), iaitu melonggok dan membuang bekas tayar di tempat awam.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, setelah pemeriksaan dan rondaan dijalankan, Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong telah mengeluarkan kompaun terhadap sebuah syarikat kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 (Penggal 30) di mana syarikat berkenan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $2,000 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam masa tujuh hari. Jika gagal membayar denda berkenaan, syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah.

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa orang ramai dan masyarakat umum disarankan memberikan kerjasama dan seharusnya peka mengenai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).

    Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.

    Semua di atas: Bekas tayar yang didapati dibuang oleh sebuah syarikat di tempat awam.  – Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong  

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda