Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat Elon Musk lancar Grokipedia saingi Wikipedia

    NEW YORK, 28 OKT – Syarikat xAI milik jutawan teknologi Elon Musk kelmarin melancarkan laman ensiklopedia baharu dinamakan Grokipedia, yang bertujuan menyaingi Wikipedia selepas beliau menuduh platform tersebut bersifat berat sebelah dari segi ideologi.

    Versi awal laman itu, dikenali sebagai versi 0.1, telah memuatkan lebih 885,000 artikel setakat petang kelmarin, berbanding lebih tujuh juta artikel dalam bahasa Inggeris yang terdapat di Wikipedia. Pelancaran itu disertai dengan janji akan memperkenalkan versi baharu, version 1.0, yang menurut Musk akan menjadi ‘10 kali lebih baik’ daripada versi semasa.

    “Matlamat Grok dan Grokipedia.com adalah kebenaran, seluruh kebenaran dan tiada selain kebenaran. Kami tidak akan pernah sempurna, tetapi akan tetap berusaha ke arah itu,” katanya menerusi platform X selepas pelancaran tersebut. Menurut Musk, pelancaran asal yang dijadualkan pada akhir September terpaksa ditangguhkan bagi ‘menyingkirkan unsur propaganda’, seperti yang dijelaskannya dalam satu hantaran berasingan di X.

    Musk, telah menjadi pengkritik tetap Wikipedia, sebelum ini menuduh laman itu dikawal oleh ‘aktivis berhaluan kiri’ dan menyeru agar sumbangan kepada platform tersebut dihentikan. Pada Ogos lalu, dia turut menegaskan ‘Wikipedia tidak boleh dijadikan sumber rujukan muktamad bagi Community Notes kerana kawalan editorialnya cenderung berhaluan kiri.’

    Kandungan dalam Grokipedia dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembantu generatif AI yang dinamakan Grok. Salah satu artikel di laman itu mengenai Musk menyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX tersebut telah ‘mempengaruhi perdebatan global mengenai kemajuan teknologi, penurunan demografi dan kecenderungan institusi, terutamanya menerusi platform X’, sambil menambah beliau sering menerima kritikan daripada media yang dikatakan ‘berorientasikan haluan kiri’. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda