Kesal filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam dicetak rompak dan disebarkan secara haram menerusi aplikasi TikTok, produksi D’Ayu Pictures Sdn Bhd tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi, Selangor.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures, Azaromi Ghozali, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan salah satu akaun media sosial berkenaan mendapat sambutan luar biasa dengan 1.1 juta jumlah tontonan.
Azaromi berkata tindakan orang ramai menonton secara percuma itu seumpama sedang bersubahat dengan penjenayah yang menjalankan kerja-kerja cetak rompak digital ini.
“Jika 1.1 juta ni pergi menonton di pawagam, dengan pembelian tiket RM20 pastinya kutipan kasar filem ini adalah RM22 juta.
“Saya sedar bukan mudah untuk memuaskan hati penonton di pawagam dan sudah pastinya bukan boleh dipaksa untuk mereka keluar beli tiket dan menonton di pawagam,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya juga kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka merompak hasil penat lelah orang lain demi kepentingan tertentu.
“Filem ini mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 15 Februari lalu dan juga memasuki pasaran Asia Tenggara dengan sambutan hebat di Kemboja.
“Setelah selesai tayangan pawagam, filem ini mula diedarkan ke platform tv seperti Astro First dan Netflix. Namun, saya kesal apabila filem ini telah dicetak rompak individu tidak bertanggungjawab dan memuatnaik di TikTok dan mereka ini lebih dikenali sebagai Penjenayah Digital,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, berkata pihaknya menyokong tindakan melaporkan segala kegiatan jenayah digital yang mencuri hak milik syarikat.
“Memang saya menyokong tindakan Azaromi sekaligus menjalankan tanggungjawabnya sebagai CEO D’ Ayu Pictures menjaga kepentingan syarikat.
“Saya harap tindakan kali ini memberikan pengajaran buat semua agar ia tidak berulang lagi di dalam industri filem Malaysia,” tegasnya.
Sekadar info, kerajaan Malaysia telah meluluskan rang undang-undang menambah baik Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang mencadangkan mana-mana kesalahan pelanggaran hak cipta melalui teknologi penstriman akan dihukum dan didenda antara RM10,000 dan RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. – Agensi