LONDON, 3 NOV – Gergasi tuna dalam tin Britain, Princes Group, disenaraikan pada Jumaat sekali gus memberi suntikan positif kepada Bursa Saham London (LSE) yang berdepan cabaran untuk menarik syarikat tersenarai baharu berikutan persaingan sengit dari Wall Street.
Kumpulan yang terkenal dengan produk Princes Tuna itu memasuki LSE dengan nilai penilaian 1.16 bilion pound (AS$1.52 bilion).
“Princes membawa harapan bahawa arus mula berubah untuk penyenaraian di London,” kata Ketua Pasaran Interactive Investor, Richard Hunter kepada AFP selepas tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.
Dalam minggu yang baik bagi LSE meskipun hanya menarik syarikat berskala sederhana, pemberi pinjaman perniagaan Shawbrook Group meraih penilaian IPO bernilai 1.92 bilion pound pada Khamis.
Langkah itu hadir ketika London “terus menerima banyak kritikan kerana jumlah kemasukan syarikat baharu yang terhad dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama berbanding jumlah syarikat yang menarik diri,” kata Pengarah Pelaburan AJ Bell, Russ Mould.
Beberapa syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini memilih New York berbanding London, termasuk gergasi pertaruhan sukan Flutter dan firma cip Arm, dengan Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai lokasi lebih baik untuk meningkatkan nilai pasaran.
Syarikat fintech Britain, Wise, pada Jun lalu mengumumkan rancangan untuk memindahkan penyenaraian utama sahamnya ke New York dari London, sambil menyatakan bahawa AS menawarkan ‘peluang pasaran terbesar’.
London juga berdepan persaingan semakin sengit daripada bandar seperti Paris dan Amsterdam selepas Britain keluar dari Kesatuan Eropah. – AFP


