JAKARTA, 21 JUN – Kumpulan perniagaan di Indonesia menyifatkan Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024 sebagai aspek penting untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama, justeru sedang mengatur delegasi bagi sidang kemuncak berkenaan pada akhir tahun ini di Kuala Lumpur.
Ketua Umum Badan Pengurus Cabang Himpunan Pengusaha Muda Indonesia Jakarta Barat, Rika Amelia Rush berkata sidang kemuncak itu menyediakan peluang kepada syarikat Indonesia memperlihatkan kepakaran masing-masing dalam bidang keusahawanan dan inovasi.
“Sidang kemuncak ini membolehkan mereka mengadakan sesi libat urus dengan warga ASEAN dan China yang luas, memudahkan pertukaran ilmu penting dan memperluas kedudukan global mereka,” katanya pada Siri Jaringan Libat Urus: MCS 2024 hari ini.
Sidang kemuncak yang diadakan selama tiga hari bermula 17 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.
Menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China, acara itu bertujuan untuk meningkatkan integrasi ekonomi dan kerjasama antara negara ASEAN dan China.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menekankan peranan sidang kemuncak itu untuk menambah baik hubungan ASEAN, terutama antara Malaysia dan Indonesia, di tengah-tengah sambutan ulang tahun ke-50 Malaysia dan China. – Bernama