NEW YORK, 6 APRIL – Ketika penggubal undang-undang berdebat sama ada mengharamkan TikTok di seluruh negara, syarikat induk di China telah memperkenalkan aplikasi baharu yang telahpun menerima tarikan.
Aplikasi itu, yang dipanggil ‘Lemon8’, berkemungkinan menghadapi beberapa penelitian yang sama seperti TikTok, yang telah dibelenggu oleh dakwaan kerajaan China boleh memaksa syarikat induknya, ByteDance untuk menyerahkan data pengguna AS atau menyebar maklumat salah di platform.
TikTok menegaskan perkara itu tidak berlaku. Dan ia cuba meyakinkan penggubal undang-undang bahawa ia boleh menjamin keselamatan data pengguna.
Sementara itu, ByteDance meneruskan dengan pelan pengembangannya.
Perkara yang perlu diketahui tentang aplikasi baharu syarikat tersebut adalah Lemon8 merupakan aplikasi berasaskan foto yang menyerupai gabungan Instagram dan Pinterest, dan ditaburi dengan video yang kelihatan seperti disiarkan di TikTok. Pakar pemasaran sosial berkata aplikasi itu juga menyerupai media sosial China dan gergasi e-dagang Xiaohongshu.
Seperti TikTok, Lemon8 menampilkan bahagian ‘pengikut’ yang membolehkan pengguna melihat kandungan daripada pencipta yang mereka ikuti, serta bahagian ‘Untuk Awda’ yang mengesyorkan siaran lain.
Ia juga membahagikan siaran di bawah kategori yang berbeza, seperti fesyen, kecantikan dan makanan, serta membolehkan pengguna meneroka kandungan dengan cara lain. – AP