Syarikat as jangka krisis kewangan terburuk

WASHINGTON, 27 APRIL – Sektor perniagaan di Amerika Syarikat (AS) terjejas teruk akibat COVID-19 dengan kemerosotan dalam jualan dan pelaburan buat pertama kali sejak krisis kewangan global 2008, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan hari ini.

Persatuan Ekonomi Perniagaan Kebangsaan (NABE), dalam tinjauan suku tahunannya, melaporkan ketidaktentuan ekonomi menyebabkan 30 peratus responden menjangka keadaan itu akan berpanjangan untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

Menurut pengerusi tinjauan itu, Megan Greene, baki responden menyasarkan pemulihan dalam tempoh lima hingga lapan minggu.

“Responden melaporkan suku terakhir tahun ini sebagai yang terburuk sejak krisis kewangan global untuk jualan, julat keuntungan, harga, dan perbelanjaan modal.

“Laporan ini menjadi petunjuk baharu krisis ekonomi di AS disebabkan pandemik COVID-19 yang memberi tamparan hebat kepada industri utama.

“Ia bukan saja membantutkan pertumbuhan, malah mengakibatkan 26 juta penduduk AS kini hilang pekerjaan, sejak pertengahan Mac lalu,” katanya.

Tinjauan dilakukan oleh NABE itu merangkumi 107 perniagaan di AS daripada pelbagai industri.

Ia turut menunjukkan 86 peratus daripada responden menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan menguncup tahun ini, manakala tiga perempat daripada responden melihat keadaan semasa akan bertambah buruk berbanding bulan lalu.

Sehubungan itu, Kongres AS memberikan bantuan rangsangan ekonomi hampir AS$3 trilion berikutan pandemik itu dan selepas langkah perintah berkurung diambil bagi memutuskan rantaian penularan virus berkenaan.

Ia termasuk jutaan bilion pinjaman dan geran bagi firma perniagaan yang terjejas teruk dalam tempoh sukar ini. – AFP