Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat Jepun bakal lancar mesin basuh untuk manusia

    OSAKA, 29 NOV – Syarikat pengeluar kepala pancuran berasaskan Osaka, Science Co., telah mencipta mesin basuh manusia canggih yang dinamakan ‘Mirai Ningen Sentakuki’ (mesin basuh manusia masa depan). Mesin basuh itu akan menjadi inovasi terbaharu dalam bidang penjagaan diri.

    Pada Pameran Osaka Kansai 1970, gergasi teknologi Jepun, Sanyo Electric Co. (sekarang Panasonic Holdings Corp.), telah melancarkan mesin basuh manusia pertama di dunia yang berbentuk telur futuristik dan menggunakan teknologi gelembung udara telah menarik perhatian ramai pengunjung dan mencetuskan rasa kagum.

    Yasuaki Aoyama, yang ketika itu hanya seorang pelajar darjah empat, menyaksikan sendiri mesin tersebut dan rasa kagum itu terus kekal dalam ingatannya. Kini, sebagai pengerusi Science Co., syarikat yang pakar dalam pengeluaran tab mandi dan kepala pancuran, Aoyama sedang bersiap sedia untuk melancarkan mesin basuh manusia moden ciptaannya sendiri.

    “Kami akan menawarkan mesin basuh manusia baharu sebagai warisan daripada pameran 1970,” kata Aoyama kepada wartawan Jepun baru-baru ini. Model terkini itu dijangka akan dipamerkan pada Pameran Osaka Kansai pada April 2025.

    Berbeza dengan mesin basuh manusia asal yang menggunakan ultrabunyi dan gelembung udara besar untuk membersihkan pengguna sambil melepaskan bola plastik untuk urutan, mesin basuh manusia masa depan itu menggunakan gelembung udara mikroskopik yang lebih efisien untuk membersihkan tubuh.

    Selain itu, dilengkapi dengan sensor canggih yang mengukur denyutan nadi dan data biologi lain untuk menyesuaikan suhu air secara tepat, serta sistem AI yang menilai keadaan emosi pengguna dan memproyeksikan imej di penutup mesin basuh untuk membantu mereka berada dalam mood yang sesuai.

    Mesin basuh ini akan dipamerkan pada Pameran Osaka Kansai pada April 2025. – Agensi

    Menurut laporan Oddity Central, walaupun belum ada demonstrasi rasmi, Science Co. menjelaskan bahawa alat berbentuk kokpit ini akan diisi dengan air panas semasa pengguna duduk di tempat duduk tengah, dan berjuta-juta gelembung mikroskopik akan dilepaskan untuk membersihkan tubuh. Aoyama berkata syarikatnya berharap dapat membenarkan hingga 1,000 orang menggunakan mesin basuh inovatif ini semasa Expo Osaka tahun depan.

    Science Co. telah bekerja keras membangunkan mesin basuh manusia ini selama beberapa tahun. Walaupun reka bentuk prototaip asal telah berubah secara signifikan, syarikat ini masih menepati sasaran pelancaran mereka pada tahun 2025. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda