BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Sebuah syarikat di Kampung Tanjung Nangka, Jalan Baharu Tanjung Nangka telah dikenakan denda kompaun $500 atas kesalahan membuang dan melonggokkan sampah dalam kawasan lapang tanpa kebenaran daripada agensi-agensi yang bertanggungjawab.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, syarikat berkenaan telah menjelaskan kompaun tersebut dan diberikan teguran serta nasihat untuk tidak membuang dan melumpukkan sampah sarap dalam kawasan lapang yang dijadikan sebagai tapak pelupusan sampah tanpa kebenaran yang sah.
Jabatan Daerah Brunei dan Muara turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil jalan mudah untuk menjadikan kawasan hutan, tanah lapang mahu pun tempat awam sebagai tempat pembuangan sampah tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Jika didapati bersalah, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Bab 12 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) dengan dikenakan denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan kesalahan seterusnya denda tidak melebihi $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Untuk sebarang aduan mengenai kesalahan pembuangan sampah dan kebersihan sila hubungi talian Darussalam 123.
