Oleh Daniel Lim
BELAIT, 30 JULAI – Sebuah syarikat tempatan di kawasan Kuala Belait telah dikenakan denda kompaun oleh Unit Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria di bawah Seksyen 12 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30).
Syarikat Perusahaan Elmi telah dikenakan kompaun $200 kerana membuang bahan-bahan buangan iaitu kotak-kotak kadbod kosong di hadapan kedai tersebut sepanjang laluan jalan kaki di Jalan Sungai, Kuala Belait, yang merupakan satu kesalahan di bawah Penggal 30, Seksyen 12 (1) (a) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.
Syarikat itu telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda tersebut dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda $1,000 atas kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda $3,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan.
Unit Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan syarikat-syarikat dan orang awam untuk membuang sampah di tempat yang telah dikhaskan bagi memastikan persekitaran sekeliling dipulihara dengan baik.
Sehubungan dengan itu, orang ramai juga boleh membuat aduan tentang pembuangan sampah merata-rata kepada Unit Penguatkuasaan, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 8896108.
