Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 26 Feb – Sebuah premis perniagaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $200 semasa pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong (JDT) di kawasan premis-premis perniagaan kawalan JDT, semalam.
Syarikat Mollah Sdn Bhd telah dikenakan denda di bawah Bab 12 (1) di atas Akta Kesalahan Kecil Penggal 30 setelah didapati melakukan kesalahan melonggokkan sampah di luar premis.
Sehubungan itu, Unit Penguatkuasaan JDT mengingatkan orang ramai dan para pemilik premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan di kawasan sekeliling dan membuang sampah di tempat yang telah disediakan.
Menurut kenyataan yang diberikan, Unit Penguatkuasaan JDT juga akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan Akta Kesalahan Kecil Penggal 30 sentiasa dipatuhi dan seterusnya memastikan kawasan persekitaran Daerah Tutong sentiasa dalam keadaan bersih.
