Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak $2,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 iaitu meninggalkan sampah di kawasan tanah lapang di Kampung Jangsak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), di sini, syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun.
Jika gagal menjelaskan bayaran denda kompaun, syarikat berkenaan boleh didakwa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan pertama.
Manakala itu, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh dikenakan denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, JASTRe mengingatkan mana-mana individu, orang awam atau mana-mana syarikat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.

(Klik di sini untuk berita lanjut)








