Sunday, October 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat kena kompaun, buang sampah tempat awam

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Bahagian Pelesanan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, Penggal 30, iaitu membuang sampah di tempat awam, hasil rondaan pada 26 Oktober.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, menyatakan bahawa syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $1,000.00 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam 7 hari.

    Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa tujuh hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat itu boleh dihadapkan ke mahkamah.

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Unit Penguatkuasaan, Bahagian Pelesanan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.

    Gambar menunjukkan sampah yang dibuang di tempat awam oleh syarikat tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda