BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sebuah syarikat telah dikenakan denda kompaun di bawah Peraturan-peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 oleh pihak berkuasa kerana telah gagal mematuhi syarat Kebenaran Perancangan iaitu meletakkan dan melonggokkan barang-barang di kawasan letak kenderaan.
Menurut kenyataan yang diterima, selain daripada mengubah penggunaan dan mengurangkan jumlah petak letak kenderaan bagi premis perniagaan berkenaan, kegiatan seperti ini juga telah menjejaskan nilai estetik dan kecantikan kawasan.
Kesalahan tersebut telah dikenal pasti semasa Operasi Kemas (OPKEMAS) yang dijalankan oleh pihak Autoriti Perancang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa di Daerah Brunei dan Muara.
Pihak Autoriti Perancang melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan mengingatkan orang ramai khususnya syarikat dan pemilik-pemilik bangunan perniagaan dan industri untuk sentiasa mematuhi undang-undang perancangan bagi memastikan keindahan, kebersihan serta keselamatan kawasan perniagaan dan industri di negara ini.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa di talian 8200222.



