SYDNEY, 16 JUN – Syarikat minyak milik kerajaan Abu Dhabi mengetuai bidaan pengambilalihan bernilai AS$18.7 bilion untuk kumpulan tenaga Australia Santos ketika ia berusaha untuk membina sebuah gergasi gas asli global, kata kedua-dua firma itu hari ini.
Lembaga Pengarah Santos berkata ia merancang sebulat suara mengesyorkan tawaran Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi kepada pemegang saham jika ia boleh bersetuju dengan syarat pengambilalihan.
Santos yang berpangkalan di Adelaide telah beroperasi di Australia, Papua New Guinea, Timor-Leste dan Amerika Syarikat, dan merupakan pembekal utama gas asli cecair di Australia dan Asia.
Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi menawarkan AS$5.76 sesaham dalam bidaan untuk semua saham tertunggak Santos, yang menilai keseluruhan syarikat itu pada AS$18.7 bilion.
Harga sesaham adalah 28 peratus lebih tinggi daripada paras penutup Santos pada Jumaat.
Ia adalah tawaran ‘muktamad, tidak terikat’ daripada syarikat minyak Timur Tengah itu, yang telah menawarkan dua tawaran yang lebih rendah pada Mac, kata Santos.
Saham Santos adalah 11 peratus lebih tinggi dalam dagangan di Bursa Sekuriti Australia pada petang kelmarin.
Firma tenaga milik kerajaan yang berpangkalan di Abu Dhabi itu membuat bidaan melalui konsortium yang diketuai oleh anak syarikatnya sendiri, XRG. – AFP


