Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat minyak di Filipina umum pembekuan harga akibat taufan

    MANILA, 29 JULAI – Lebih daripada enam juta rakyat Filipina masih terjejas akibat hujan lebat dan banjir besar yang dibawa oleh monsun barat daya serta beberapa taufan tropika, sehingga mendorong beberapa syarikat minyak terpaksa melakukan pembekuan harga bahan api di kawasan-kawasan yang terjejas, kelmarin.

    Bermula hari ini, harga seliter petrol akan meningkat sebanyak 10 sen, diesel sebanyak 60 sen dan minyak tanah sebanyak 40 sen.

    Namun begitu, Syarikat Seaoil, Petron dan Jetti Petroleum dalam pengumuman berasingan menyatakan tiada kenaikan harga akan dikenakan di beberapa wilayah terpilih di Luzon dan Visayas.

    Bagi Jetti Petroleum, harga bahan api kekal tidak berubah di wilayah Pangasinan, Pampanga, Bataan, Metro Manila, Cavite, Rizal, Bulacan, Mindoro Timur dan Negros Occidental.

    Petron turut menangguhkan kenaikan harga di La Union, Ilocos Sur, Pampanga dan sebahagian Pangasinan, manakala Seaoil memaklumkan kenaikan harga tidak melibatkan wilayah 1 dan 2.

    Selain itu, Jabatan Pertanian (DA) turut melaporkan kelmarin, kerugian dalam sektor pertanian negara terus meningkat akibat gabungan kesan haba dan taufan tropika, dengan jumlah kerugian kini mencecah PHP2.34 bilion.

    Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 27.17 peratus berbanding kerugian PHP1.84 bilion yang dilaporkan pada 27 Julai lalu.

    Tanaman padi menyumbang kepada 54.49 peratus daripada jumlah kerugian, iaitu sebanyak PHP1.27 bilion, diikuti jagung, ubi kayu, tanaman bernilai tinggi, perikanan, ternakan, ayam itik serta infrastruktur pertanian. Penolong Setiausaha Pertanian, Arnel de Mesa minggu lalu menyatakan pihaknya tidak menjangkakan kenaikan harga mendadak termasuk barangan makanan. – ANN/Philippine Daily Inquirer

    Gambar fail seorang petugas mengira wang selepas mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak di Manila pada 15 Mac 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda