Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat M’sia disiasat disyaki dalangi kegiatan haram

    BANGKOK, 30 Jun – Thailand telah menubuhkan jawatankuasa pelbagai agensi untuk memperhebatkan siasatan yang dijalankan sekarang ke atas sebuah syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam aktiviti haram secara besar-besaran termasuk pengubahan wang haram di negara itu.

    Syarikat tersebut yang mempunyai kepentingan perniagaan di Thailand mula dipantau di Malaysia baru-baru ini kerana didakwa mendalangi skim piramid yang kompleks melibatkan beribu-ribu pelabur dan jutaan Ringgit.

    “Siasatan masih dijalankan. Kami telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai agensi kerajaan bertanggungjawab bagi penguatkuasaan undang-undang termasuk Biro Anti Narkotik (NSB),” kata seorang pegawai tertinggi kepada Bernama baru-baru ini.

    Agensi lain yang terlibat dalam siasatan termasuk Pejabat Anti Penggubahan Wang Haram (AMLO), Jabatan Siasatan Khas (DSI), Jabatan Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam, Pejabat Kawalan Narkotik (ONCB) dan Jabatan Pembangunan Perniagaan.

    Wakil dari bank pusat negara itu, Bank of Thailand (BoT) juga terlibat dalam siasatan ke atas syarikat dari Malaysia itu.

    Menurut satu sumber, jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat baru-baru ini dan dalam mesyuarat tersebut, jawatankuasa membincangkan cara-cara untuk mengambil tindakan baharu dan lebih agresif dalam usaha untuk mendakwa syarikat dari Malaysia itu kerana dikatakan menjalankan aktiviti secara haram di Thailand melibatkan pelbagai sektor perniagaan.

    “Kami akan merumuskan strategi dan kaedah baharu dalam siasatan,” kata beliau dan menambah bahawa setiap agensi akan ditugaskan dengan tanggungjawab tertentu tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

    Pihak berkuasa juga telah menyiasat sama ada syarikat tersebut mempunyai apa-apa kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah di negara itu tetapi tidak menjumpai apa-apa bukti.

    Menurut sumber, pihak berkuasa Thailand sebenarnya telah mula menyiasat syarikat Malaysia itu kira-kira setahun yang lalu bermula dengan siasatan ke atas lima anak syarikatnya tetapi memperluaskan skop siasatan apabila penglibatan sebenar syarikat tersebut dalam aktiviti haram mula terdedah.

    Syarikat Malaysia itu yang beroperasi di Thailand selama beberapa tahun, dikatakan terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan termasuk hotel dan resort, hiburan, restoran, pengurup wang dan pangsapuri di Thailand. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda