Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Mahkamah Tinggi baru-baru ini telah memberikan award kepada sebuah syarikat Malaysia sebagai tuntutan yang bernilai lebih RM4 juta terhadap sebuah syarikat Brunei, setelah perbicaraan penuh secara maya dijalankan.
Dalam keputusan bersejarah pertama sebagai tindak balas terhadap persekitaran baharu pandemik COVID-19, Mahkamah Tinggi pada 26 Februari lepas memberi award ICE Petroleum Engineering Sdn Bhd berjumlah RM4,106,938.42, ke atas syarikat berkenaan selepas perbicaraan dijalankan lebih seminggu pada Oktober 2020.
Tuntutan awal Ice Petroleum terhadap syarikat itu berjumlah RM7,821,855.41. Pemberian kepada ICE Petroleum adalah untuk mendapatkan balik faedah tidak wajar yang diperoleh syarikat tempatan itu dengan menjejaskan Ice Petroleum akibat kegagalannya membayar ICE Petroleum untuk kerja-kerja yang disediakan antara Disember 2014 hingga Oktober 2015 yang timbul daripada subkontrak berjuta dolar antaranya dan syarikat lain dalam industri minyak dan gas.
Syarikat tempatan itu mendakwa telah membuat pembayaran lebih dan caj tunggakan kepada ICE Petroleum atas kerja-kerja yang dilakukan bagi pihaknya.
Bagaimanapun, tuntutan balas itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Selain itu, Mahkamah Tinggi memberi award faedah 6 peratus setahun kepada perbicaraan sebelumnya dari 23 Mei 2016 hingga tarikh terkini. Hakim Mahkamah Tinggi Brunei, Kannan Ramesh mengendalikan perbicaraan secara maya dari Singapura sementara beberapa saksi memberikan bukti dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Peguam bagi kedua-dua pihak menjalankan kes mereka dari Negara Brunei Darussalam dengan plaintif diwakili oleh Roy Prabhakaran dan Kamal bin Shaari dari Messrs Yusof Halim & Partners sementara Pengiran Shahyzul bin Pengiran Abdul Rahman dan Too Shu Vun dari Messrs Pengiran Izad dan Lee mewakili defendan.