Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat pembinaan bongkar rasuah projek kawalan banjir Filipina

    MANILA, 9 SEPT – Beberapa syarikat pembinaan di Filipina mendakwa mereka telah membayar 17 ahli parlimen bagi mendapatkan kontrak kerajaan, kata pemiliknya kelmarin dalam satu pendengaran mengenai rasuah dalam projek kawalan banjir.
     
    Isu projek ‘hantu’ mendapat perhatian meluas selepas Presiden Ferdinand Marcos menjadikannya tumpuan dalam ucapan negara pada Julai lalu, susulan beberapa minggu banjir besar yang meragut nyawa.
     
    Sejak itu, Marcos telah melawat beberapa tapak di seluruh negara, mengesahkan bahawa sebahagian projek yang dilaporkan siap sebenarnya tidak wujud, selain mendedahkan senarai 15 firma yang dikatakan memegang kontrak terbanyak.
     
    Pemilik firma nombor dua dan tiga dalam senarai itu kelmarin mendedahkan nama 26 ahli parlimen serta pegawai Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH) yang didakwa menerima bayaran tunai bagi mendapatkan kontrak tersebut.
     
    “Kami berterusan digunakan oleh mereka yang berkuasa,” kata pemilik perniagaan, Pacifico Discaya II, ketika pendengaran di Senat.
     
    “Kami tidak mampu berbuat apa-apa, kerana jika tidak bekerjasama, mereka akan menimbulkan masalah terhadap projek yang diberikan kepada kami,” tambahnya.
     
    Beliau memberitahu Senat bahawa pegawai DPWH, jurutera dan ahli parlimen secara rutin menuntut potongan antara 10 hingga 25 peratus daripada dana yang diperuntukkan. – AFP
     
    Dalam foto yang diambil pada 21 Julai ini, seorang lelaki meredah jalan yang dilanda banjir selepas hujan lebat di Manila. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda