Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat pemula hasilkan pil bantu manusia hidup hingga 150 tahun

    BEIJING, 17 NOV – Lonvi Biosciences, sebuah syarikat pemula berpangkalan di Shenzhen yang memfokuskan pada bidang jangka hayat dan biosains, baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah menghasilkan sejenis pil yang menyasarkan ‘sel zombi’ iaitu sel penuaan yang tidak lagi membahagi tetapi terus mencetuskan keradangan dan secara teorinya boleh membantu manusia hidup sehingga 150 tahun.
     
    “Ini bukan sekadar pil biasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lonvi, Ip Zhu, sambil menambah bahawa bahan utama dalam ubat baharu itu bukan sahaja mampu meningkatkan jangka hayat, tetapi juga mengurangkan penyakit berkaitan usia dengan menguatkan kesihatan pada peringkat sel, lapor Oddity Central.
     
    “Hidup sehingga umur 150 tahun memang realistik,” kata Lyu Qinghua, ketua pegawai teknologi syarikat itu, kepada New York Times. “Dalam beberapa tahun, ini akan menjadi kenyataan.”
     
    Pil itu berasaskan procyanidin C1 (PCC1), sejenis molekul yang diasingkan daripada biji anggur, yang sebelum ini dikaitkan dengan peningkatan kelangsungan hidup dalam kajian ke atas tikus. 
     
    Ujian syarikat itu menunjukkan bahawa tikus makmal yang diberikan formulasi tersebut hidup 9.4 peratus lebih lama secara keseluruhan dan 64.2 peratus lebih lama dari hari pertama rawatan.
     
    Pada tahun 2024, purata jangka hayat di China mencecah 79 tahun, lima tahun lebih tinggi daripada purata global. – Agensi
     
    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda