Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat penerbangan Asia Pasifik perlu sedia guna SAF

    ISTANBUL, 5 JUN – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa syarikat penerbangan di Asia Pasifik untuk mengukuhkan kesediaan mereka dalam peralihan kepada mandat bahan api penerbangan mampan (SAF).

    Naib Presiden Serantau IATA bagi Asia Pasifik, Philip Goh berkata dasar dan insentif kerajaan adalah pen-ting untuk menggalakkan peningkatan pengeluaran SAF.

    Katanya pembangunan mandat SAF di Asia Pasifik tidak secepat di rantau lain.

    “Kebanyakan syarikat penerbangan dan kerajaan di rantau ini baru memulakan perjalanan SAF mereka.

    “Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memacu perjalanan SAF, termasuk menggalakkan kerajaan di rantau ini untuk membantu melaksanakan dasar bagi meningkatkan pengeluaran dan penggunaan SAF,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini serantau bagi Asia Pasifik dan Asia Utara pada Ahad.

    Taklimat media itu diadakan di luar mesyuarat agung tahunan IATA dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia 2023 yang diadakan antara 4 dan 6 Jun.

    Goh menekankan keperluan kepada peningkatan pengeluaran secara besar-besaran untuk industri penerbangan dalam langkah ke arah komitmen penyahkarbonan menjelang 2030.

    “Bagi mencapai sasaran tersebut, terdapat keperluan untuk memiliki sekitar 450 bilion liter SAF (seluruh dunia) menjelang 2050.

    “Kami tidak mahu melepaskan peluang itu. Sokongan daripada kerajaan dan rakan rantaian nilai akan diperlukan dalam perjalanan ini,” katanya.

    Dalam kenyataan berasingan, IATA berkata pihaknya telah melancarkan siri pelan hala tuju yang bertujuan untuk menyediakan perincian langkah demi langkah tindakan penting kepada sektor penerbangan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda