Saturday, January 11, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat penerbangan berdepan ‘risiko tinggi’ terbang di Rusia

    PARIS, 10 JAN – Pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas menunjukkan bahawa penerbangan di Rusia membawa risiko tinggi kepada penerbangan awam di tengah-tengah perang di Ukraine, kata Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) hari ini.

    EASA menyatakan dalam buletin keselamatannya bahawa konflik tersebut menimbulkan risiko pesawat awam menjadi sasaran tidak sengaja di ruang udara Persekutuan Rusia, disebabkan kemungkinan kekurangan penyelarasan awam-tentera dan potensi salah pengenalpastian.

    Agensi itu memperbaharui saranannya agar syarikat penerbangan mengelakkan penerbangan di ruang udara barat Rusia.

    Rusia telah melarang syarikat penerbangan EU daripada terbang di ruang udaranya, tetapi syarikat penerbangan dari China, Turkiye, negara-negara Teluk dan negara-negara lain masih dibenarkan.

    Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev mengatakan pesawat penumpang Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan pada 25 Disember, mengorbankan 38 orang, telah ditembak dari darat di bandar Grozny, Rusia, di mana pesawat itu dijadualkan untuk mendarat.

    Rusia telah mengatakan bahawa sistem pertahanan udaranya sedang berfungsi pada waktu itu untuk menangkis dron Ukraine, tetapi tidak menyatakan dengan jelas bahawa mereka menembak pesawat tersebut.

    EASA menyatakan bahawa pengaktifan sistem pertahanan udara Rusia untuk menangkis peluru berpandu dan dron Ukraine yang dilancarkan ke Rusia mungkin memberi impak langsung terhadap operasi penerbangan di beberapa lokasi, termasuk lapangan terbang antarabangsa utama. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda