Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Syarikat penerbangan dibenarkan kena caj pelepasan karbon

    PUTRAJAYA, 23 FEB – Kementerian Pengangkutan pada dasarnya bersetuju membenarkan syarikat penerbangan mengenakan bayaran tambahan bagi menampung pelepasan karbon mereka.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata syarikat penerbangan tertentu akan menggunakan bayaran tambahan itu bagi membeli bahan api penerbangan mampan (SAF), manakala yang lain akan membayar kredit karbon untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka.

    “Sudah tentu Malaysia juga akan mengambil langkah-langkah tertentu, namun ia tidak diwajibkan untuk semua syarikat penerbangan,” kata Loke kepada pemberita selepas program ‘Sua Kasih MADANI’ kementerian di sini hari ini.

    Beliau mengulas sama ada Malaysia akan mengikut langkah Singapura yang mengenakan levi bahan api hijau ke atas penerbangan mulai 2026.

    Setakat ini, syarikat penerbangan di negara ini digalakkan menerapkan penggunaan SAF, namun ia melibatkan kos tertentu.

    “Beberapa syarikat penerbangan telah menghubungi kementerian untuk meminta kebenaran membuat pindaan tertentu bagi levi karbon, tetapi itu tidak wajib bagi syarikat penerbangan,” katanya.

    Loke berkata syarikat penerbangan belum mengenakan levi kerana akan ada pindaan tertentu yang dibuat di bawah Peraturan-peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Kod Tatakelakuan) 2018 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

    “Kos yang minimum mungkin dikenakan. Pertamanya kerana objektif kami adalah untuk tidak membebankan pengguna, tetapi kita mempunyai kewajipan bahawa setiap negara harus mematuhi pengurangan karbon ini,” katanya. – Bernama

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) ketika sidang media pada Majlis Sua Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Malaysia di kementeriannya kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...