BOSTON, 4 OKT – Syarikat penerbangan global akan kerugian kira-kira AS$51.8 bilion pada tahun 2021 dan AS$11.6 bilion lagi pada tahun 2022 akibat pandemik COVID-19, menurut ramalan industri yang dikeluarkan pada hari ini.
Unjuran daripada kumpulan perdagangan Persatuan Pegangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menunjukkan kemerosotan yang lebih mendalam berbanding ramalan sebelumnya pada bulan April untuk kerugian AS$47.7 bilion tahun ini. IATA juga menambah anggaran kerugian tahun 2020 kepada AS$137.7 bilion dari AS$126.4 bilion.
Walaupun kerugian syarikat penerbangan ‘sangat besar’, Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata “kita sudah mengatasi bahagian paling teruk daripada krisis tersebut.”
Walsh berkata syarikat penerbangan telah mengurangkan pembiayaan dan memanfaatkan peningkatan permintaan untuk perjalanan udara.
“Walaupun masalah serius masih wujud, jalan menuju pemulihan dapat dilihat,” kata Walsh. “Penerbangan menunjukkan daya tahannya sekali lagi.”
Namun pemulihan tersebut tertakluk kepada wilayah berlainan.
Amerika Utara merupakan satu-satunya wilayah yang diramalkan mencatat keuntungan positif pada tahun 2022.
Eropah diramalkan akan kekal di zon merah, dengan kerugian mencecah AS$9.2 bilion pada tahun 2022, berbanding dengan kerugian berjumlah AS$20.9 bilion yang dijangkakan pada tahun 2021. Syarikat penerbangan wilayah ini akan melihat pemulihan dalam perjalanan antara Eropah, tetapi perjalanan jarak jauh tetap terhad, kata IATA.
Syarikat penerbangan di wilayah Asia Pasifik, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika dijangka akan mengalami kerugian lebih kecil pada tahun 2022 berbanding tahun ini.
IATA meramalkan jumlah penumpang sebanyak 3.4 bilion pada tahun 2022, sama dengan jumlah pada 2014, tetapi di bawah 4.5 bilion pada tahun 2019.
IATA berkata ‘mewujudkan semula hubungan global’ harus menjadi keutamaan bagi kerajaan.
“Kami bersetuju bahawa orang yang sudah divaksin tidak harus diberikan sekatan dalam pergerakan,” katanya. – AFP