Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat penerbangan hentikan perjalanan ke Timur Tengah

    PARIS, 13 JUN – Syarikat-syarikat penerbangan global membatalkan penerbangan ke Tel Aviv, Tehran dan beberapa destinasi lain di Timur Tengah, atau mengubah laluan pesawat hari ini selepas ruang udara ditutup berikutan serangan Israel ke atas Iran.

    Israel, Iran, Iraq, Jordan dan Syria menutup ruang udara masing-masing selepas Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan ketenteraan dan nuklear di Iran. Israel menyatakan bahawa Tehran telah melancarkan dron sebagai tindak balas.

    Penerbangan Air India dari New Delhi ke Vienna dan dari Mumbai ke London berada hampir memasuki ruang udara Iran ketika Israel melancarkan serangan, menyebabkan pesawat tersebut berpatah balik ke lapangan terbang asal, menurut penjejak pesawat Flight Aware.

    Penerbangan Air India dari London ke New Delhi yang telahpun memasuki ruang udara Iran telah dilencongkan melalui Iraq sebelum tiba di India lewat satu jam, menurut Flight Aware.

    Air India mengalihkan atau memanggil semula sejumlah 16 penerbangan antara India dan London serta bandar-bandar di Kanada dan Amerika Syarikat “berikutan situasi yang sedang berlaku di Iran.”

    Papan maklumat yang memaparkan penerbangan dibatalkan kelihatan di dewan ketibaan di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv, kelmarin, selepas Israel menutup ruang udaranya bagi pelepasan dan pendaratan. – AFP

    Emirates, syarikat penerbangan terbesar di Timur Tengah, berkata ia telah membatalkan penerbangan ke dan dari Iraq, Jordan, Lubnan dan Iran selepas Israel melancarkan serangan.

    Qatar Airways, syarikat penerbangan kebangsaan negara itu dan antara yang terbesar di rantau Timur Tengah, berkata ia “telah membatalkan sementara penerbangan ke Iran dan Iraq susulan keadaan semasa di rantau tersebut.”

    Air France pula menggantung penerbangan ke dan dari Tel Aviv sehingga diberitahu kelak berikutan penutupan ruang udara Israel.

    “Air France sedang memantau keadaan di Timur Tengah secara masa nyata,” kata jurucakap syarikat penerbangan Perancis itu kepada AFP, sambil menambah bahawa keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaan mutlak.

    Kumpulan penerbangan Jerman, Lufthansa, berkata ia akan menggantung penerbangan ke dan dari Tehran sehingga 31 Julai.

    Penggantungan penerbangan ke Tel Aviv juga dilanjutkan untuk tempoh yang sama.

    Syarikat penerbangan Swiss, yang dimiliki oleh Lufthansa, menggantung penerbangan ke Tel Aviv sehingga 25 Oktober manakala penerbangan ke Beirut akan digantung sehingga akhir Julai.

    Di Emiriah Arab Bersatu, lapangan terbang Abu Dhabi memberi amaran bahawa gangguan penerbangan dijangka berlaku sepanjang hari ini akibat serangan Israel.

    Lapangan terbang Dubai turut mengumumkan kelewatan dan pembatalan penerbangan disebabkan penutupan ruang udara Iran, Iraq dan Syria. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda