COLOMBO, 7 NOV – Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake, hari ini berikrar untuk merombak syarikat penerbangan kebangsaan negara itu yang mengalami kerugian selepas kerajaan gagal mencari pembeli, selaras dengan komitmen di bawah pelan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pentadbiran-pentadbiran terdahulu telah berusaha menjual SriLankan Airlines yang membebankan bajet negara, namun Dissanayake memberitahu Parlimen, masih ‘tiada pembeli’ walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik minat pelabur asing.
IMF telah meluluskan pinjaman bantuan berjumlah AS$2.9 bilion kepada Sri Lanka pada tahun 2023 dan menegaskan syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian, termasuk syarikat penerbangan itu, perlu disusun semula atau dijual bagi mengurangkan tekanan terhadap kewangan awam.
Syarikat penerbangan itu, yang menanggung kerugian terkumpul hampir AS$2 bilion sehingga akhir Mac 2025, masih mempunyai bon berjumlah AS$175 juta yang dijamin kerajaan dan sedang menunggu penjadualan semula pembayaran.
Dissanayake berkata, proses tersebut dijangka selesai sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata, pihak pengurusan telah diminta menyediakan pelan perniagaan yang kukuh bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu.
Negara itu telah gagal membayar hutang luar berjumlah AS$46 bilion pada April 2022 selepas kehabisan rizab pertukaran asing. – AFP

