Saturday, December 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat penerbangan tidak dapat kurangkan banyak kos demi selamatkan pekerjaan

    KUALA LUMPUR, 28 OKT – Industri penerbangan tidak akan dapat mengurangkan terlalu banyak kos bagi mengimbangi kerugian tunai yang teruk untuk mengelakkan kemuflisan dan mengekal-kan pekerjaan pada 2021, menurut analisis terbaru oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

    Justeru, persatuan itu mengulangi saranannya supaya langkah bantuan kerajaan dilaksanakan untuk mengekalkan syarikat penerbangan secara kewangan dan menghindari tindakan pemberhentian pekerjaan besar-besaran.

    IATA juga menyarankan ujian COVID-19 sebelum penerbangan yang akan mendorong pembukaan semula sempadan selain membolehkan perjalanan tanpa kuarantin.

    Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata suku keempat 2020 akan menjadi tempoh yang amat sukar dan wujud petunjuk kecil bahawa separuh pertama 2021 akan lebih baik, sekiranya sempadan masih ditutup dan/atau kuarantin ketibaan kekal dijalankan.

    “Tanpa tambahan bantuan kewangan kerajaan, median syarikat penerbangan hanya mempunyai baki tunai 8.5 bulan berbanding kadar kerugian semasa dan kami tidak dapat mengurangkan kos dengan secepatnya untuk dijajarkan dengan perolehan yang menyusut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Analisis terbaru itu menunjukkan keseluruhan perolehan industri pada 2021 dijangka merosot 46 peratus daripada AS$838 bilion pada 2019.

    Analisis terdahulu mendapati perolehan 2021 susut kira-kira 29 peratus berbanding angka pada 2019 berasaskan pemulihan permintaan yang dijangkakan bermula pada suku keempat 2020.

    “Bagaimanapun pemulihan itu telah tertangguh berikutan penularan terkini pandemik COVID-19, dan kerajaan menguatkuasakan sekatan perjalanan termasuk penutupan sempadan dan tindakan kuarantin.

    “IATA menjangkakan trafik bagi 2020 merosot 66 peratus berbanding angka pada 2019, dengan permintaan pada Disember susut 68 peratus,” menurut persatuan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda