SEOUL, 30 Jan – SK Telecom Co, syarikat telekomunikasi utama Korea Selatan bakal memperkenalkan waktu kerja fleksibel, sejajar dengan syarikat Teknologi Maklumat (ICT) utama lain yang telah mengambil langkah sama bagi memberikan pekerja lebih masa lapang.
Bermula suku kedua tahun ini, semua pekerja berpeluang menetapkan jadual kerja harian sendiri, selagi ia memenuhi jumlah bekerja iaitu 80 jam setiap dua minggu, kata SK Telecom lapor agensi berita Yonhap.
“Syarikat akan mengelak membuat keputusan sepihak berkaitan waktu tugasan kakitangan, dengan memperkenalkan jadual kerja secara individu dan petugas bebas menetapkan waktu bekerja berlandaskan kepercayaan yang diberikan,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Sistem kerja fleksibel membolehkan petugas memilih waktu kerja setiap hari dan setiap minggu untuk kemudahan menyelesaikan urusan peribadi, seperti penjagaan anak-anak selain dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan lebih berkualiti.
Syarikat ICT utama lain yang telah mengguna pakai sistem itu baru-baru ini, termasuk gergasi Nexon Korea Co. dan NC Soft Corp.
Mulai awal tahun ini, NC Soft melancarkan program perintis yang membolehkan para pekerjanya membuat sendiri jadual kerja selama 40 jam. – Bernama