Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat permainan video dituduh guna taktik manipulasi

    BRUSSELS, 12 SEPT – Kumpulan pengguna Eropah hari ini menuduh syarikat permainan video terbesar dunia memperdayakan mereka termasuk kanak-kanak, untuk berbelanja lebih.

    Permainan video adalah amat popular di Eropah di mana lebih separuh daripada populasi adalah pemain, menurut angka industri yang diterbitkan bulan lepas.

    Kumpulan penaung hak pengguna Eropah, BEUC hari ini memfailkan aduan dengan Suruhanjaya Eropah, dengan sokongan daripada ahli organisasi di 17 buah negara Eropah termasuk Perancis, Jerman dan Itali.

    Kumpulan itu berkata syarikat di sebalik permainan seperti Fortnite, EA Sports FC 24 dan Minecraft bersalah atas taktik manipulasi perbelanjaan yang melibatkan mata wang maya dalam permainan video, yang dikatakan mereka kanak-kanak lebih mudah terjejas.

    Gergasi permainan video tersebut ialah Activision Blizzard, Electronic Arts, Epic Games, Mojang Studios, Roblox Corporation, Supercell dan Ubisoft.

    Gambar Envato

    Mata wang maya ialah item digital seperti permata, mata atau syiling yang boleh dibeli dengan wang sebenar, selalunya dalam permainan itu sendiri atau dalam pasaran aplikasi.

    Apabila mata wang digital kemudiannya digunakan untuk membeli pilihan atau objek dalam permainan, kumpulan pengguna mengatakan pemain tidak dapat melihat jumlah sebenar yang terlibat, menjadikan mereka terdedah kepada perbelanjaan berlebihan.

    “Hari ini, mata wang dalam permainan video premium sengaja menipu pengguna dan menjejaskan kanak-kanak. Syarikat amat menyedari kelemahan kanak-kanak dan menggunakan helah untuk menarik pengguna muda supaya berbelanja lebih,” kata Ketua BEUC, Agustin Reyna.

    Kumpulan itu meminta item sentiasa dipaparkan dalam wang sebenar atau sekurang-kurangnya mereka harus memaparkan kesetaraan dalam mata wang dunia sebenar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda