Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Syarikat teknologi perlu patuhi peraturan EU’

    MOSCOW, 21 APRIL – Syarikat teknologi gergasi seperti X, Meta, Apple dan TikTok mesti mematuhi peraturan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang teknologi digital tanpa mengira siapa yang mengendalikan syarikat terbabit dan di mana ia beroperasi, kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

    “Peraturan yang diluluskan oleh para penggubal undang-undang kami mesti dikuatkuasakan. Itulah sebabnya kami memulakan siasatan terhadap TikTok, X, Apple, Meta – sekadar menyebut beberapa nama. Kami melaksanakan peraturan secara adil, seimbang dan tanpa prejudis.

    “Kami tidak peduli dari mana asal syarikat itu atau siapa yang menguruskannya. Yang penting bagi kami adalah melindungi rakyat,” lapor Sputnik/RIA Novosti memetik temu bualnya bersama Politico.

    Akhbar The Wall Street Journal pada 18 April melaporkan siasatan terhadap Meta dan Apple berkaitan dengan dakwaan pelanggaran Akta Pasaran Digital EU, bertujuan memastikan persaingan yang lebih adil antara syarikat digital besar dan kecil.

    Siasatan dilancarkan pada Mac 2024, dengan dapatan awal diterbitkan pada musim panas tahun itu.

    Menurut akhbar itu, syarikat-syarikat terbabit berkemungkinan dikenakan denda sehingga 10 peratus daripada jumlah hasil tahunan global mereka, namun jumlah sebenar mungkin lebih rendah.

    Kesan terbesar dijangka bukan daripada jumlah denda, tetapi daripada arahan yang boleh memaksa syarikat-syarikat berkenaan mengubah amalan perniagaan mereka, menurut laporan. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti

    Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen semasa sidan media di ibu pejabat EU di Brussels pada 7 April lalu. Beliau tegaskan syarikat teknologi perlu patuhi peraturan EU.  – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Tidak sengaja