Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat tersalah masuk gaji AS$87,000 ke akaun, pekerja enggan pulangkan

    RUSIA, 3 NOV – Seorang pekerja kilang di Khanty-Mansiysk, Rusia, kini berdepan tindakan saman selepas didakwa enggan memulangkan lebih 7 juta ruble (AS$87,000) yang dipindahkan ke akaun banknya secara tidak sengaja akibat gangguan perisian.

    Menurut laporan Oddity Central, Vladimir Rychagov pada awalnya menyangka dirinya bertuah apabila menerima notifikasi bank yang menunjukkan wang percutian bernilai 46,954 ruble (AS$581) dimasukkan seperti dijangka. Namun, kejutan besar berlaku apabila dia turut menerima sebanyak 7,112,254 ruble (AS$87,000) sebagai ‘bonus’.

    Difahamkan, para pekerja pernah mendengar khabar angin bahawa syarikat berkenaan akan memberikan ‘gaji ke-13’ yang lumayan selepas setahun mencatat keuntungan cemerlang.

    Namun, Rychagov tidak menyangka jumlahnya sebesar itu. Bagaimanapun, kegembiraannya tidak bertahan lama selepas pegawai akaun kilang menghubunginya berkali-kali untuk menjelaskan wang tersebut tersilap dimasukkan dan perlu dikembalikan segera. Rychagov membuat penyelidikan dalam talian sebelum mengambil keputusan menolak permintaan tersebut. “Saya dapati jika ini kesilapan teknikal, saya tidak wajib memulangkan. Tetapi jika ia ralat bil, barulah saya perlu pulang semula,” katanya kepada Channel 5. “Kemudian saya dapati ia kesilapan teknikal, jadi saya rasa saya berhak simpan wang itu.”

    Berdasarkan dokumen mahkamah yang dikemukakan oleh pihak syarikat, wang tersebut sebenarnya adalah gaji untuk 34 pekerja dari cawangan yang berbeza, namun akibat kesilapan sistem, ia dimasukkan ke dalam akaun Rychagov. Namun dalam hujah pembelaan, dia menegaskan dana itu dihantar atas nama syarikat, bukannya cawangan tertentu dan dilabel sebagai ‘gaji’ dalam penyata bayaran. Oleh itu, dia mendakwa berhak menerima wang itu.

    Vladimir Rychagov mendakwa permintaan pihak majikan untuk wang tersebut ditukar kepada ugutan, menyebabkan dia menggunakan wang tersebut untuk membeli kereta baharu dan berpindah ke bandar lain bersama keluarganya. Namun, tuntutan mahkamah difailkan ketika dia dalam perjalanan dan semua akaun banknya kini dibekukan.

    Pertikaian wang tersebut kemudiannya berlarutan hingga ke mahkamah. Mahkamah peringkat awal dan rayuan berpihak kepada majikan, memutuskan tiada sebarang tunggakan gaji bagi Rychagov pada tarikh berkenaan dan wang 7 juta ruble itu tidak dianggap sebagai gaji yang sah. Maka, dia diwajibkan memulangkan wang tersebut.

    Rayuan kasasi yang difailkannya juga ditolak.

    Namun, pertarungan undang-undang belum berakhir. Rychagov telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung Rusia dan kes tersebut telah diterima untuk disemak. Beliau masih berpegang bahawa wang itu sememangnya miliknya dan tidak bercadang untuk memulangkannya. – Agensi

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda