HANOI, 27 Feb – Syarikat-syarikat pengangkutan Vietnam telah menandatangani perjanjian dalam sektor penerbangan yang bernilai AS$21 bilion bersama firma-firma Amerika Syarikat (AS) hari ini ketika Presiden AS, Donald Trump bertemu para pemimpin tertinggi di Hanoi menjelang sidang kemuncaknya bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Trump telah menggesa Hanoi untuk mengecilkan ruang lompong luas perdagangan dengan Washington sebagai sebahagian daripada seruan lantangnya bagi kempen ‘Amerika Didahulukan’, dengan menggesa Vietnam membeli lebih banyak barangan buatan AS.
Sektor penerbangan negara komunis itu telah meledak beberapa tahun kebelakangan disebabkan kelas pertengahan semakin berkembang dengan selera bertambah bagi perjalanan udara yang murah.
Tiga syarikat penerbangan teratas Vietnam telah menandatangani beberapa perjanjian bagi pesawat, enjin dan kontrak penyelenggaraan hari ini ketika Trump bertemu dengan para pemimpin tertinggi negara itu di Hanoi menjelang sidang keduanya bersama Kim hari ini.
Syarikat tambang murah Vietjet telah menandatangani perjanjian bagi 100 buah jet Boeing 737 bernilai AS$12.7 bilion, bersama kontrak latihan dan sokongan, kata penerbangan itu. Bamboo Airways yang memulakan penerbangan sulung bulan lalu akan membeli 10 buah 787 Dreamliners dari Boeing ketika ia berhasrat untuk mengembangkan armadanya dan meluaskan laluannya ke destinasi antarabangsa.
Sementara itu, Vietnam Airlines telah menandatangani kontrak penyelenggaraan AS$100 juta dengan Sabre Corporation. – AFP