Penyanyi bekas anggota Dolla, Syasya Rizal, 23, hampir melahirkan anak pra matang selepas mengalami pendarahan ketika kandungannya baru sahaja berusia 30 minggu.
Menurut Harian Metro, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal berkata doktor memaklumkan hal itu disebabkan dia mengalami kontraksi yang tidak teratur setiap 10 minit.
“Masa kejadian, suami saya tengah kemas barang anak dan tiba-tiba saya rasa basah dan bila saya pegang rupanya ada darah tapi tak rasa sakit pun. Sampai saja di sana (hospital), saya sudah ada kontraksi yang tak teratur selang 10 minit.
“Doktor pun macam sudah risau dan kata saya mungkin akan melahirkan dalam sehari dua. Saya pun macam terkejutlah sebab kandungan baru 30 minggu dan 1.3 kilogram tak silap. Doktor kata kalau bersalin, anak damit kena masuk NICU.
“Waktu itu saya macam sedih sangat sebab saya takut apa-apa berlaku. Kalau dia lahir waktu itu akan jadi pra matang dan kalau kontraksi pun makin kerap berlaku, anak akan terpaksa dilahirkan,” katanya.
Syasya terpaksa ditahan di bilik pembedahan selama empat hari bagi tujuan pemeriksaan doktor. Katanya, doktor mahu pantau dan periksa jantung anaknya.
“Masa itu saya tak fikir banyak, saya cuma doa dekat Allah supaya anak saya tak keluar lagi. Sebab kalau dia keluar mungkin dia tak boleh survive dekat dunia luar, saya harap dia boleh tunggu sampai waktu sepatutnya dia keluar,” katanya.
Sepanjang ditahan itu, Syasya mengamalkan doa Nabi Yunus bagi membantu memudahkan urusannya. Selepas beberapa hari, barulah doktor membenarkan dia pulang.
“Selepas itu, doktor benarkan saya balik tapi masih kena makan ubat sebab saya masih ada pendarahan dan tak tahu pendarahan itu datang dari mana. Bila datang untuk pemeriksaan semula, Alhamdulillah semuanya sudah okay, tak ada pendarahan,” katanya. – Agensi
