Pelakon Syatilla Melvin selamat menjalani pembedahan bagi membuang tonsil yang bengkak di bahagian tekaknya di sebuah hospital swasta baru-baru ini.
Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 29, berkata dia sudah lama berdepan dengan masalah itu namun tidak mempunyai masa yang sesuai untuk jalani pembedahan.
Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Shaheizy Sam ini meluahkan rasa syukur proses pembedahan yang dilakukan berjalan dengan lancar dan akan dibenarkan pulang keesokan harinya.
“Saya dah lama berdepan dengan masalah tonsil… dah lama bengkak dan mengganggu kehidupan serta aktiviti harian saya.
“Sebelum ini tak ada masa yang sesuai untuk buang. Alhamdulillah…saya telah jalani pembedahan buang tonsil. Lega rasa selepas dah lakukan pembedahan.
“Insya-Allah jika tiada apa-apa masalah, saya dibenarkan pulang ke rumah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan keadaan saya,” kata Syatilla ketika dihubungi wartawan.
Sebelum ini, Syatilla ada memuat naik video dia melakukan ujian saringan atau swab test untuk COVID-19 sebagai prosedur sebelum jalani pembedahan.
Baru-baru, Sam turut berkongsi foto Syatilla dalam keadaan bersiap sedia untuk memasuki dewan pembedahan.
Rata-rata warganet mendoakan agar urusan pelakon Sha & Shah itu berjalan dengan lancar dan cepat sembuh.
Syatilla mendirikan rumah tangga dengan pelakon filem Polis Evo itu pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 3, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun. – Agensi