Syatilla tak takut Sam digoda?

Melihat kisah kegagalan rumah tangga ekoran kecurangan suami, pelakon, Syatilla Melvin, 29, percaya suaminya, Shaheizy Sam, 38, tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan.

Syatilla atau nama sebenarnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu berkata, dia tidak takut suami digoda kerana yakin Sam tahu jaga batasan.

“Saya percaya Sam tidak akan berbuat demikian, bagaimanapun sebagai wanita saya tetap juga berfikir. Disebabkan itu, saya menceburi bidang perniagaan untuk mempunyai sumber kewangan stabil.

“Saya tak mahu hanya bergantung pada dunia lakonan kerana sedia tahu jangka masa seseorang pelakon bukanlah lama.

Jadi, saya memerlukan simpanan sendiri demi kebaikan pada masa hadapan,” katanya.

Syatilla berkata dia tidak takut suami digoda kerana yakin Sam tahu jaga batasan. – Agensi

Ia juga menjadi salah satu faktor ibu kepada dua cahaya mata, Sheriv Samheizy, 3, dan Sarima Samheizy, 2, itu sibuk mengembangkan perniagaannya.

Terbaharu, Syatilla akan tampil dengan produk jamu selepas perniagaan kosmetiknya mendapat sambutan yang luar biasa.

Kongsi Syatilla lagi, dia akan tampil dengan produk jamu sekitar September depan.

“Saya mengembangkan sayap perniagaan melalui produk baharu, jamu.

“Kenapa saya pilih jamu? Sebab saya mengamalkan pengambilan jamu sejak berusia 15 tahun, sama seperti adik beradik.

“Saya suka makan jamu kerana apabila mengamalkannya, rasa bertenaga dan merasakan perbezaan dari segi dalaman, apatah lagi selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata.

“Saya tak pandai untuk menghasilkan produk seperti tudung dan baju, jadi saya pilih produk yang disukai. Jujurnya, jamu sangat membantu saya,” katanya.

Pelakon kelahiran Parit Buntar, Perak itu berkata, penghasilan jamu juga bagi menggalakkan lebih ramai gadis mengamalkannya dari usia muda. – Agensi