Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Walaupun bulan Syawal sudah dekat ke penghujungnya, namun Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya tetap memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa yang oleh Awang Mohd Naqib bin Haji Awang.
Sambutan kemudian dimeriahkan dengan persembahan Tausyeh daripada Kumpulan Belia (Program Keagamaan Belia) dan tayangan video Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bagi KHEU pada tahun 2018.
Di samping menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di negara ini, khususnya di peringkat kementerian, majlis itu merupakan salah satu kegiatan sosial berkebajikan warga kementerian bagi mengeratkan hubungan silaturahim yang lebih mesra dan harmoni, selain menerapkan nilai-nilai yang lebih positif dalam hubungan kekeluargaan.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin dan isteri turut berdudun beramah mesra dan berkunjung ke ruang setiap jabatan, bahagian, unit di bawah KHEU.
