Pelakon Syazwan Razak tidak menafikan sudah mula berasa letih apabila namanya sering kali dibandingkan dengan abangnya yang juga aktor popular, Syafiq Kyle.
Syazwan atau Mohamad Syazwan Emir Abdul Razak, 26, berkata, perbandingan itu bukan perkara baharu dan telah menjadi isu yang berulang sejak dia mula menceburi bidang seni lakonan.
Namun, Syazwan memilih untuk menjadikan perkara itu sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu lakonannya.
“Perbandingan itu akan sentiasa ada, bukan perkara baru. Orang akan sentiasa membandingkan saya dengan abang.
“Bagi saya setiap individu ada cara tersendiri untuk menilai lakonan kami. Sebelum ini dalam industri pun ramai adik-beradik yang menjadi pelakon, lama kelamaan orang akan nampak perbezaan.
“Tipulah kalau cakap tak fed up (muak), tetapi saya ambil perkara itu sebagai pembakar semangat untuk belajar buat lebih daripada apa yang abang saya lakukan,” katanya kepada mStar.
Syazwan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama BF Green Flag yang diadakan di Studio Village, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Syazwan turut menafikan dakwaan kononnya dia ingin menumpang populariti Syafiq dan menegaskan dirinya mahu membina nama berdasarkan hasil kerja dan identiti sendiri.
Kongsinya, dia juga tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan abang kandungnya itu.
“Saya bukanlah mahu bersaing dengan abang sendiri. Semua orang tahu benchmark Syafiq, saya pun masih baru dalam industri.
“Saya risau juga kalau orang letak abang sebagai penanda aras untuk kerjaya saya dalam bidang lakonan ini. Orang dah tahu Syafiq pandai berlakon. Saya tidak mahulah ikut cara lakonan dia (Syafiq), saya ada cara sendiri.
“Tapi saya yakin orang akan nampak sendiri perbezaannya. Saya tidak boleh halang mereka untuk tidak membandingkan lakonan kami,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, Syazwan tidak menafikan bahawa Syafiq banyak memberi nasihat berguna terutama ketika dia baru menapak dalam industri.
“Kalau saya nak menumpang populariti pun, dia tetap abang saya. Bukan mahu menumpang, kalau saya nak buat dari dulu lagi saya dah buat.
“Cuma dia ada nasihatkan saya, kalau nak masuk dalam industri saya kena mula daripada bawah untuk saya tahu sendiri selok belok dalam industri. Kemudian saya sendiri buat keputusan untuk teruskan kerjaya ini atau tidak.
“Sebab Syafiq kata dalam industri ini tak ada siapa suruh kau masuk dan tak ada siapa suruh kau keluar (industri). Itu antara nasihat yang pernah diberi,” katanya. – Agensi

