Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sydney keluarkan amaran kesihatan, cendawan beracun ditemui

    SYDNEY, 17 JUN – Pihak berkuasa di negeri New South Wales (NSW), Australia telah mengeluarkan amaran kesihatan selepas cendawan beracun ditemui tumbuh di kawasan hutan, termasuk di Sydney.

    NSW Health hari ini turut memaklumkan cendawan jenis death cap telah dikesan tumbuh di Sydney dan kawasan bersebelahan di selatan bandar itu, sekali gus mencetuskan amaran mengenai risiko kesihatan akibat memakan cendawan liar.

    Seorang pakar kanan dari Pusat Maklumat Racun NSW, Genevieve Adamo berkata simptom keracunan cendawan termasuk muntah, kerosakan hati dan buah pinggang serta boleh membawa maut.

    Beliau menggesa penduduk NSW agar membuang sebarang cendawan yang tumbuh di taman rumah atau taman awam dan memantau anak-anak kecil ketika mereka bermain di luar rumah, terutama di sekitar pokok besar yang menjadi lokasi pertumbuhan cendawan.

    Sepanjang tahun 2024, sebanyak 23 kes kemasukan ke hospital akibat kesan toksik daripada cendawan yang dimakan, termasuk dua kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

    Pusat Maklumat Racun NSW menerima 363 panggilan berkaitan pendedahan kepada cendawan liar pada 2024 dan 190 panggilan lagi telah direkodkan bagi tahun 2025 sehingga akhir Mei.

    Ketua saintis di Taman Botani Sydney, Brett Summerell berkata tiada kaedah mudah dan boleh dipercayai untuk menentukan sama ada cendawan liar itu boleh dimakan atau beracun.

    “Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak memetik atau memakan cendawan liar,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pada awal Mei, Jabatan Kesihatan Negeri Victoria di tenggara Australia turut mengeluarkan amaran serupa berkaitan cendawan liar beracun. – Xinhua

    Cendawan membawa maut telah merebak di Sydney, Southern Highlands dan NSW. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda