SYDNEY, 28 JULAI – Perintah berkurung di Sydney dilanjutkan lagi selama empat minggu, di mana jutaan penduduk akan terus tetap berada di rumah, kata pihak berkuasa hari ini, dengan menyatakan kadar penularan wabak koronavirus terus meningkat dengan jumlah yang divaksinasi masih rendah.
Bandar terbesar di Australia pada awalnya dijadualkan akan menamatkan perintah berkurung selama lima minggu pada 30 Julai ini, bagaimanapun perintah itu telah dilanjutkan sehingga 28 Ogos selepas angka penularan virus semakin meningkat.
“Saya memahami keadaan orang ramai semasa perintah berkurung selama empat minggu akan datang tetapi ia adalah bagi memastikan komuniti di negara ini dalam keadaan selamat dan kembali sedia kala,” kata Perdana Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian.
Pegawai mengumumkan 177 kes baharu yang berkaitan dengan wabak Sydney, yang bermula pertengahan Jun ketika seorang kru penerbangan antarabangsa dijangkiti virus itu.
Orang-orang yang tinggal di kawasan terjejas telah didesak untuk tidak meninggalkan kawasan kejiranan mereka, tetapi mereka yang tinggal bersendirian akan dibenarkan untuk melakukan ‘gelembung individu’ dengan orang lain.
Semasa perintah berkurung itu, penduduk Sydney dibenarkan meninggalkan kediaman mereka hanya untuk bersenam, pekerjaan penting dan membeli barang keperluan seperti makanan dan perubatan. – AFP