Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sydney mulakan sambutan Tahun Baharu 2020

    SYDNEY, 31 DIS – Sydney menyambut Tahun Baharu dengan pertunjukan bunga api besar-besaran, melancarkan perayaan untuk berbilion orang di seluruh dunia dan membawa masuk dekad baharu.

    Bandar terbesar Australia itu mengadakan pertunjukan bunga api di pelabuhan, namun perayaan tahun ini telah disurami oleh gesaan supaya membatalkan bunga api memandangkan kebakaran hutan melanda seluruh negara.

    Asap jerebu yang toksik telah menyelubungi Sydney selama beberapa minggu dan petisyen untuk membatalkan acara tersebut sebagai menghormati mangsa kebakaran telah menarik lebih daripada 280,000 tanda tangan.

    Pertunjukan bunga api dibatalkan di ibu negara Australia, Canberra, dan kawasan pinggir bandar barat Sydney disebabkan risiko kebakaran dan keadaan cuaca melampau.

    Pengkritik mahu Sydney menggunakan Aus$6.5 juta yang dibelanjakan ke atas usaha memadamkan kebakaran hutan di bandar, namun pegawai berkata acara tersebut menelan kos Aus$130 juta kepada ekonomi dan pembatalan tidak akan membantu mereka yang terjejas oleh kebakaran.

    Pertunjukan bunga api di Harbour Bridge dan Sydney Opera House seperti yang dilihat dari Cahill Expressway ketika perayaan Tahun Baharu di Sydney, pada 1 Januari 2020. – AP

    Lebih 100,000 bunga api menerangi langit untuk beratus ribu penonton yang membanjiri pusat bandar.

    Tatkala jam berdetik melepasi tengah malam, bandar-bandar utama di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika akan menyertai sama dalam perayaan, namun di kebanyakan tempat perayaan disambut dalam krisis dan kemelut politik.

    Selepas lebih enam bulan demonstrasi, Hong Kong menyambut tahun baharu dengan beberapa siri rapat pro-demokrasi yang dirancang sehari sebelum Tahun Baharu.

    Pembantah membentuk rantaian manusia yang merentasi jalan membeli-belah sibuk dan kawasan perumahan.

    Di Paris, 250,000 hingga 300,000 orang biasanya berkumpul di Champs-Elysees untuk mengalu-alu Tahun Baharu, namun jumlah kehadiran mungkin terjejas disebabkan mogok pengangkutan yang telah berlarutan berminggu-minggu lamanya.

    Tengah malam di London pula akan disambut dengan bunyi loceng Big Ben, yang tidak dibunyikan ketika kerja-kerja pemulihan, dan bunga api biasanya menghiasi Thames untuk tahun baharu pada tahun-tahun sebelum Brexit.

    Di Moscow, Presiden Vladimir Putin dijangka menyampaikan ucapan Tahun Baharu. Rusia akan menyambut dekad baharu di beberapa zon masa, dengan penduduk Moscow mengerumuni pusat ibu negara untuk pertunjukan bunga api di Kremlin. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda