Aksi ahli politik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menari bersama penyanyi dan pelakon Bella Astillah sempena sambutan Pesta Kaamatan mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu video yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq dilihat cuba menyesuaikan langkah tarian tradisional Sabah bersama kostum lengkap.
Namun, gerak tari yang sedikit ‘kaku’ itu menjadi bahan jenaka ringan dalam kalangan warganet termasuk dirinya sendiri, menurut laporan Harian Metro.
“Tak tahu nak ketawa atau menangis bila tengok semula (video tarian). Izinkan saya fokus dalam Parlimen sajalah,” tulisnya di aplikasi X.
Menurut Syed Saddiq, proses rakaman itu mengambil masa berjam-jam kerana dia perlu mengulang banyak kali kerana begitu ‘kaku’.
“Dari petang sampai ke malam. Kena ambil banyak kali sebab saya kaku, macam robot.
“Nasib baik ada Bella di samping. Jadi, kuranglah ke’kaku’an tu,” katanya.
Dalam masa sama, Saddiq turut mengambil peluang mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Ini Malaysia. Selamat menyambut Pesta Kaamatan serta Hari Gawai untuk semua,” katanya.
Dalam pada itu, Bella dalam hantaran di Instagram memaklumkan kolaborasi tarian bersama Saddiq adalah pengalaman pertama mereka berdua.
“Kerjasama tarian pertama saya bersama Syed Saddiq. Tak sempurna, tapi memang sangat menyeronokkan. Ini transisi paling mengagumkan, dari siang terus ke malam.
“Terima kasih Syed Saddiq. saya amat menghargai keberanian dan kesanggupan anda untuk mencuba sesuatu yang baharu. Itulah yang menjadikannya begitu istimewa,” katanya. – Agensi
