Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syed Saddiq menteri penuh termuda

    KUALA LUMPUR, 2 Julai – Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mencipta sejarah apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia.

    Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan pada usia 25 tahun mengatasi rekod yang dipegang Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada tahun 1978, pada usia yang sama.

    Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu merupakan antara 13 menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara. Mengulas mengenai pelantikannya, Syed Saddiq berkata perkara ini menunjukkan satu pengiktirafan yang besar kepada pandangan dan suara golongan muda di negara ini oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    “Kita harapkan melalui lantikan ini, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk menyerlahkan diri pada masa depan.

    Anak muda bukan sahaja pemimpin untuk masa hadapan tetapi hari ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda