PELAKON baharu Syida Melvin, 21, mengakui dia tidak menyesal untuk bergelar isteri pada usia muda ketika namanya baharu bertapak dalam bidang lakonan.
Menurut adik pelakon Syatilla Melvin ini, dia dan pasangan, Mohamad Syafiq Azim Datuk Seri Shaheen, 29, bakal diijabkabulkan pada Januari tahun depan.
“Saya percaya soal jodoh adalah ketentuan Allah SWT dan sudah bersedia untuk berkahwin pada usia sekarang.
“Saya juga mengikut jejak ibu berkahwin pada usia 21 tahun kerana kakak, Syatilla pun berkahwin pada usia 26 tahun,”katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai majlis pernikahan, kata pelakon drama bersiri Rahasia Kasih di ntv7 ini, dia juga terpaksa menolak tawaran berlakon buat sementara waktu untuk membuat persiapan terbabit.

“Majlis pernikahan dijangka berlangsung di kediaman keluarga di Pulau Pinang.
“Manakala, majlis di sebelah pihak lelaki bakal berlangsung di hotel di Kuala Lumpur.
“Saya juga mengundang pihak media untuk membuat liputan pada hari bersejarah kami nanti,”katanya.
Ditanya pembabitan dalam bidang lakonan pula, kata Syida, dia akan meneruskan karier lakonan selepas berkahwin nanti.
“Saya bertuah kerana bakal suami menyokong minat dalam bidang seni sejak dulu.
“Apa yang penting, saya sentiasa ingat nasihat ibu supaya bijak membahagikan masa antara karier seni dan rumah tangga selepas berkahwin nanti,” katanya.
Syida dan bakal suaminya, Mohamad Syafiq mengikat tali pertunangan dalam majlis ringkas pada, Jun lalu.
Mohamad Syafiq adalah anak lelaki Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd yang juga usahawan yang mendapat jolokan Iron Lady, Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid. – Agensi